Biduanita Negara Siti Nurhaliza lancar album tradisional Gema Bumantara dengan 10 lagu baharu, beri ruang kepada komposer muda termasuk guna AI.
KUALA LUMPUR: Sentiasa mengangkat muzik tradisional ke pentas tertinggi, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus mengukuhkan peranannya sebagai penggerak irama warisan bangsa itu menerusi pelancaran album terbaharu berjudul Gema Bumantara.
Mengakui muzik tradisional berakar dalam jiwanya, Siti Nurhaliza, 46, menyifatkan album itu bukan sekadar kesinambungan perjalanan seni, tetapi amanah besar untuk memastikan irama tradisional terus hidup, dikenali dan bergema ke seluruh dunia.
Katanya dalam usaha mencapai matlamat itu beliau percaya acuan dan resipi muzik perlu bergerak seiring dengan peredaran masa agar dapat menjangkau pelbagai generasi.
“Oleh itu, bagi album tradisional kali ini, saya rasa kita perlu beri peluang kepada setiap orang, tidak kisahlah, beliau legenda, baharu atau anak muda, untuk berkarya. Kalau saya tak beri ruang kepada mereka, bagaimana kita mahu lahirkan pelapis yang bagus?
“Bila kita lihat pada kebolehan, ilmu yang dia ada, ataupun pengalaman, kita patut menghargai bakat-bakat generasi ini. Saya sendiri banyak belajar daripada mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran album berkenaan di TGV Pavilion Bukit Jalil, dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya, lebih 200 karya diterima daripada komposer pelbagai peringkat usia namun hanya 10 karya dipilih selepas melalui proses penilaian ketat bagi memastikan selari dengan konsep tradisional yang ingin diketengahkan.
“Sebenarnya semua bagus. Kita nak pilih 10 yang terbaik itu (susah) sebab sebenarnya ada 40 (yang terbaik), bayangkan daripada 40 nak jadi 10. (Kalau mahu) kita boleh buat album lagi (berikutan banyak karya yang bagus),” katanya.
Katanya daripada semua yang diterima sejak tawaran dibuka pada awal 2024, ada juga karya yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Album Gema Bumantara memuatkan 10 lagu baharu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal termasuk Firdaus Rahmat, Igie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazian dan Danish Norr.
Turut terbabit ialah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib, Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan serta Siti Nurhaliza sendiri.
Lagu yang menghiasi album tersebut ialah Kumbang Bunga (duet bersama-sama Lesti Kejora), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama-sama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.
Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa itu berkata album tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas Dana Kebolehan Pasaran (Domestik) 2.0.
“Sebenarnya dana yang saya dapat itu untuk lima lagu dan lima lagi menggunakan pelaburan sendiri bagi menjadikannya 10 lagu untuk melengkapkan sebuah album. Bantuan (dana) MyCreative ini sangat melegakan saya… saya bersyukur sangat,” katanya.
Ditanya mengenai konsert tradisional, pelantun lagu Cindai itu berkata penganjurannya masih di peringkat awal perancangan, namun berjanji konsert akan menampilkan elemen tradisional sepenuhnya, dari awal ke akhir persembahan.
“Buat masa ini saya hanya boleh katakan ia akan menjadi konsert tradisional sepenuhnya, seakan-akan konsep Lentera Timur yang pernah saya persembahkan di Istana Budaya dahulu, cuma kali ini skalanya lebih besar kerana akan diadakan di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil.
“Tarikhnya kita akan umumkan kemudian, sekarang mahu fokus pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Januari tahun depan terlebih dahulu,” katanya, menambah konsert tradisional berkenaan akan dirancang sebagai usaha meraikan warisan muzik tradisional negara.
Siti Nurhaliza turut berkongsi album edisi fizikal dijangka dilancarkan pada Januari 2026 bersempena dengan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza. – Bernama








