the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 30, 2026
25.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan dalam Bajet 2023 tingkatkan langkah-langkah keselamatan siber

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan meningkatkan secara strategik usaha negara untuk memerangi jenayah siber, menurut sebuah organisasi keselamatan siber.

Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia and Nascent Countries Goh Chee Hoh berkata langkah keselamatan siber bersasar yang digariskan bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan siber negara tetapi turut meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan dan pengguna akhir.

“Kami menyambut baik penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan institusi kewangan.

“Penubuhan pusat itu sudah tentu bersinergi baik dengan cadangan peruntukan RM73 juta kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk mengukuhkan daya tahan keselamatan siber negara dengan menambah baik keupayaan pemantauan, pengesanan dan pelaporan jenayah siber,” katanya dalam kenyataan semalam.

Goh berkata beliau percaya kerajaan akan kekal teguh dalam mengukuhkan pendirian keselamatan data negara dengan terus menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada untuk melindungi negara daripada risiko siber baharu atau meningkat oleh penjenayah siber.

“Selain daripada mewujudkan infrastruktur yang diperlukan, pelaburan dan langkah-langkah keselamatan siber yang proaktif dan berkesan juga perlu dilihat untuk memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata bajet yang diperuntukkan kepada CSM perlu diketengahkan berikutan keselamatan siber merupakan pertimbangan utama yang boleh memberi impak kepada daya tahan negara dalam ekonomi digital.

Beliau berkata sebagai sebuah syarikat yang meletakkan kepercayaan sebagai teras dalam semua aspek, mempunyai landskap digital yang selamat penting untuk usaha masa depan.

“Oleh itu, Microsoft sedang meneroka kerjasama dengan kerajaan terutamanya dalam strategi keselamatan siber untuk meningkatkan daya tahan digital negara.

“Kami menyokong Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dalam bidang berkaitan pembinaan kapasiti, memberikan pandangan dan keupayaan sektor swasta serta amalan terbaik mengenai dasar dan peraturan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital,” katanya.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

World’s First Commercial Multimodal LLM for Cultural Tourism Enters Broad Application

XI'AN, CHINA - Media OutReach Newswire - 29 June 2026 - The world's first commercial multimodal large language model (LLM) for cultural tourism, called BoGuan, has entered broad application in Xi'an, China.

Hainan FTP marks 6-month milestone of special customs operations, signs deals during Hong Kong...

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 29 June 2026 - As the Hainan Free Trade Port (FTP) marked the six-month milestone since the launch of its full special customs operations, a Hainan provincial delegation wrapped up a three-day visit to Hong Kong.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings