Projek fasiliti super magnet bernilai RM600 juta di Pahang bakal perkukuh industri hiliran nadir bumi Malaysia, kata Perdana Menteri.
GYEONGJU: Projek pembangunan fasiliti pembuatan “super magnet” bernilai RM600 juta yang bakal dibangunkan JS Link dan Lynas Malaysia di Pahang, dilihat berpotensi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia, sekali gus mewujudkan potensi baru dalam industri hiliran bagi nadir bumi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua syarikat berkenaan telah pun membuat persiapan awal dan beliau sendiri akan bertemu Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Ahad ini, antara lain akan membincangkan mengenai projek itu.
“Pada Isnin pula, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) akan meninjau dan memantau keadaan kerana ini pelaburan penting kerana ia melibatkan nadir bumi dan pemprosesannya di anggap peringkat tertinggi disebut sebagai super magnet,”
“JS Link dah beli tanah dan mahu mula operasi, maknanya itu bukan lagi soal memorandum persefahaman. Pelaburan sudah masuk, tanah sudah ada, jadi ini lebih kepada mempercepatkan proses,” kata Anwar kepada pemberita sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari di negara ini, hari ini.
Anwar berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (AELM).
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif JS Link Lee Jun Young dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia Datuk Seri Mashal Ahmad.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Terdahulu, dalam hantaran di X, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata usaha sama berimpak tinggi ini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem bahan termaju dan teknologi bersih.
Ia sekali gus menyokong usaha global ke arah pembentukan rantaian bekalan mineral kritikal yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan, komponen penting bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, serta industri berteknologi tinggi, katanya.
Beliau berkata kerjasama ini turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, berdaya saing dan berpaksikan inovasi.
Pada Julai tahun ini, Lynas Rare Earths Ltd memaklumkan pihaknya telah menandatangani persetujuan awal dengan JS Link untuk membangunkan kemudahan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia.
Mengikut memorandum persefahaman itu, Lynas akan bekerjasama dengan JS Link bagi membangunkan kemudahan untuk menghasilkan sehingga 3,000 tan jenis magnet sinter kekal neodymium-besi-boron berhampiran loji bahan termaju syarikat itu di Kuantan.
Firma Korea Selatan itu sedang memperluas operasinya dengan menceburi industri magnet kekal nadir bumi, dengan tujuan membina rantaian bekalan global dan mampan melalui langkah agresif untuk menjamin kedudukan dalam rantaian bekalan magnet nadir bumi.
Menyentuh pertemuan dengan Namhae Chemical Corporation pula, Perdana Menteri berkata syarikat berkenaan bersetuju meningkatkan import bahan mentah dari Malaysia bernilai RM500 juta khususnya batu fosfat, kalium klorida dan ammonia hijau dari Malaysia bagi pengeluaran baja kimianya.
Namhae Chemical, anak syarikat National Agricultural Cooperative Federation (NONGHYUP) yang merupakan konglomerat ke-10 terbesar di Korea Selatan.
Syarikat itu ialah pengeluar baja kimia dan produk kimia industri terbesar di Korea Selatan dengan penguasaan pasaran sebanyak 42 peratus, dan mengeksport ke 20 negara.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan yang diadakan di luar AELM adalah Naib Presiden Eksekutif Namhae Chemical Corporation Kang Nam-Kyung. – Bernama










