Saturday, November 1, 2025
32.1 C
Malaysia
spot_img

Dua projek bekalan air Papar dipantau pastikan siap ikut jadual

The Sun Webdesk

Menteri Armizan komit pantau dua projek bekalan air di Papar bagi tangani isu gangguan bekalan air yang membelenggu penduduk setempat.

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memberi komitmen untuk melaksanakan pemantauan secara berkala pembinaan dua projek bekalan air di daerah ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu gangguan bekalan air yang sering membelenggu rakyat dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata dua projek itu ialah Loji Rawatan Air Kogopon II Papar yang kini mencatat kemajuan 59.39 peratus, dan pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang, dengan kemajuan 36.92 peratus setakat 25 Oktober lepas.

“Projek LRA Kogopon II dijangka siap pada penghujung 2026 dan mampu meningkatkan bekalan air di Papar daripada 40 juta liter sehari kepada 80 juta liter sehari,” katanya.

Armizan menambah pembinaan muka sauk berskala sederhana itu pula telah bermula pada 10 Mac lepas dan dijangka siap pada awal tahun depan.

“Sama-sama kita usahakan agar kedua-dua projek ini akan terus berjalan dengan lancar dan kita dapat menangani isu gangguan bekalan air yang telah membelenggu masyarakat Papar sejak sekian lama,” katanya menerusi satu rakaman video yang dikongsikan di laman Facebook.

Armizan berkata pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang dilaksanakan bertujuan memastikan LRA Skim Bekalan Air Kecemasan Limbahau terus beroperasi apabila berlaku kemasukan air masin.

Beliau berkata Loji EWSS Limbahau dan LRA Jetama Limbahau adakalanya terpaksa ditutup sementara apabila bekalan air mentah di muka sauk Sungai Papar di Limbahau tidak boleh dirawat.

“Situasi ini sering berlaku apabila musim kemarau dan fenomena air pasang yang menyebabkan air masin dari laut masuk ke muka sauk kedua-dua loji berkenaan,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar kampung di daerah ini mengalami gangguan bekalan air bagi tempoh tertentu.

Armizan berkata beliau bersama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan dan penyandang ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim sentiasa komited memastikan projek-projek bagi menangani isu bekalan air di Papar berjalan lancar.

Beliau turut meminta rakyat di daerah ini untuk terus memberi kepercayaan kepada pemimpin Gabungan Rakyat Sabah untuk berkhidmat di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri di bawah kawasan Parlimen Papar menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img