Monday, November 3, 2025
24.9 C
Malaysia
spot_img

Kerajaan tumpu pembangunan subsektor industri pacu ekonomi Pahang

The Sun Webdesk

Perdana Menteri umum tumpuan strategik kepada industri kimia, automotif dan pembuatan makanan bagi pacu ekonomi Pahang.

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan tumpuan strategik kepada pembangunan subsektor industri di Pahang antaranya industri kimia dan petrokimia, automotif, industri berat dan sederhana serta pembuatan makanan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata fokus terhadap industri berkenaan akan dilaksanakan melalui pelbagai pelan induk dan inisiatif yang telah serta akan dilancarkan.

“Bagi subsektor kimia dan petrokimia contohnya, Pelan Induk Industri Kimia 2030 (CIR2030) meletakkan aspirasi untuk memacu pembangunan sektor kimia dan produk kimia ke arah ekosistem industri yang berdaya saing, berteknologi tinggi dan mampan,” kata beliau dalam ucapan perasmian Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Industri Kuantan di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi serta barisan pimpinan kerajaan negeri. 

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor kimia dan produk kimia merupakan satu daripada lima produk utama dengan jumlah nilai perdagangan tertinggi dalam sektor barangan pembuatan, mewakili 12.15 peratus daripada jumlah perdagangan negara setakat Jun lepas.

Beliau berkata setakat September lepas, Pahang telah merekodkan pelaburan berjumlah RM17.43 bilion, melebihi sasaran tahun ini iaitu RM14.09 bilion serta mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan.

Mengenai isu bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan penyelesaian jangka panjang menerusi pembinaan loji rawatan air masin di Pantai Gebeng dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Projek ini mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.  

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan persekitaran perniagaan di Gebeng kekal kompetitif tanpa gangguan logistik dan utiliti asas,” kata beliau dan menambah kawasan berkenaan merupakan lokasi strategik kerana kedudukannya yang bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan. 

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Gebeng Industrial Support Group (GISG) yang dianggotai pekerja atas peranan aktifnya sebagai penghubung penting antara komuniti industri Gebeng dan agensi kerajaan.

“Kerjasama erat antara kerajaan dengan pihak industri, syarikat dan pekerja inilah yang memastikan isu-isu setempat terutamanya yang berkaitan dengan infrastruktur, utiliti dan operasi logistik dapat ditangani segera, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan harmoni,” kata beliau. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Vinhomes Green Paradise applies to be a participant in the world’s ‘7 wonders of future cities’ global campaign.

CAN GIO, VIETNAM - Media OutReach Newswire - 3 November 2025 - The Can Gio Urban Area Project - Vinhomes Green Paradise - has officially applied to become a Participant in the global "7 Wonders of Future Cities" campaign, launched by the world-renowned New7Wonders organization. By firmly embracing this global initiative, Vinhomes reaffirms its forward-looking vision, positioning Vinhomes Green Paradise not merely as a real estate development but as a world-class symbol that embodies the future of human urban living.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img