SHAH ALAM: Sebanyak 41 kawasan di Shah Alam, Klang dan Petaling dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, gangguan itu susulan kerosakan sistem elektrikal di Rumah Pam Jelutong U8 di sini.
Berikutan itu, pihak Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan sistem elektrikal yang telah bermula pada 9.30 pagi tadi.
Antara lokasi terjejas di Shah Alam dan Klang ialah Bandar Putera, Bukit Kemuning, Kampung Kebun, Sungai Kandis, Taman Bukit Rimau dan Jalan Datuk Dagang.
Sebanyak 13 kawasan terlibat di wilayah Petaling antaranya Pinggiran USJ, Putra Evenue, Putra Harmoni, Putra Setia dan USJ Height.
Status bekalan air akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com. – Bernama









