Seramai 286 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara di Kedah dan Perak, dengan ramalan ribut di Perak petang ini
KUALA LUMPUR: Seramai 286 mangsa banjir daripada 67 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara di Kedah dan Perak pada pagi ini.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 220 orang daripada 50 keluarga masih berada di satu PPS setakat 8 pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan kesemua mangsa di daerah Pendang masih ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.
Pusat pemindahan itu melibatkan mangsa dari beberapa kampung dalam Mukim Rambai, Ayer Puteh, Padang Pusing, Padang Peliang, Padang Kerbau, Guar Kepayang dan Tobiar.
Di Perak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung berkurang kepada 66 orang daripada 17 keluarga pagi ini.
Kesemua mangsa banjir dari Kampung Padang Serai itu ditempatkan di PPS berkenaan sejak 23 Oktober lepas.
Keadaan air di kawasan terbabit masih belum surut sepenuhnya sehingga kini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut di kesemua daerah di Perak pada petang ini. – Bernama










