Wong Jiun Wei dan Lim Boon Ping didenda RM5,000 seorang selepas mengaku bersalah menyamar anggota polis trafik dan memperdaya dua remaja.
IPOH: Dua rakan masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis trafik.
Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, dihukum penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa memperdaya dua remaja lelaki berusia 17 dan 15 tahun dengan meminta wang pada 1 November lepas.
Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selatan 1, Taman Ipoh Timur Baru.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.
Di mahkamah sama, Wong turut dikenakan denda RM2,000 kerana memiliki peralatan polis.
Beliau dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda atas kesalahan memiliki topi dan boot berlogo PDRM.
Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan menjejaskan integriti PDRM.
Beliau menyatakan terdapat bukti pindahan wang berjumlah RM400 dalam kes tersebut.
Peguam K. Nathan merayu hukuman ringan dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.
Kedua-dua tertuduh bekerja sebagai pembantu kedai makan dan juru elektrik dengan pendapatan RM1,500.
Mengikut fakta kes, tertuduh menahan pengadu sambil memakai pakaian menyerupai uniform polis.
Mereka menakut-nakutkan mangsa dengan ugutan mengeluarkan saman dan membawa ke balai polis.
Tertuduh meminta wang daripada pengadu bagi menyelesaikan perkara tanpa tindakan lanjut. – Bernama









