Senat AS gagal lulus pembiayaan kali ke-14, penutupan kerajaan berpotensi pecah rekod 35 hari dengan kos ekonomi mencecah USD14 billion.
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat gagal meluluskan rang undang-undang pembiayaan sementara buat kali ke-14.
Kegagalan ini meletakkan penutupan kerajaan persekutuan di landasan untuk memecah rekod 35 hari yang dicatat semasa penutupan 2018-2019.
Ia berpotensi menjadi penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah Amerika Syarikat.
Senat yang dikuasai Parti Republikan mengundi 54-44 terhadap resolusi sementara yang telah diluluskan Dewan Perwakilan.
Rang undang-undang itu bertujuan membiayai kerajaan pada tahap semasa sehingga 21 November.
Ia memerlukan sekurang-kurangnya 60 undi untuk melepasi penentangan dan diteruskan ke peringkat seterusnya.
Penutupan yang berterusan terus menjejaskan pelbagai sektor termasuk penerbangan, bantuan makanan dan perkhidmatan kesihatan.
Kesan semakin meluas dan memberi tekanan besar terhadap ekonomi serta kehidupan rakyat.
Menurut laporan Pejabat Belanjawan Kongres, penutupan selama lapan minggu boleh menelan kos ekonomi AS sebanyak USD14 billion.
Kedua-dua parti utama terus saling menyalahkan antara satu sama lain atas kebuntuan politik.
Program bantuan makanan utama negara turut terjejas teruk.
Pentadbiran Trump menggunakan dana kecemasan untuk mengekalkan separuh manfaat Program Bantuan Makanan Tambahan bagi bulan ini.
Presiden Donald Trump menegaskan di media sosial bahawa manfaat “hanya akan diberikan apabila Demokrat membuka semula kerajaan.”
Program Bantuan Makanan Tambahan meliputi kira-kira 42 juta rakyat Amerika.
Ini mewakili satu perlapan daripada jumlah penduduk negara itu yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah. – Bernama-Xinhua









