Kerajaan Persekutuan lulus pembinaan jalan alternatif PLUS dari Senawang ke utara tahun depan, hubungkan dengan lebuh raya NLE untuk kurangkan kesesakan.
SEREMBAN: Jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terutama dari Senawang menuju utara akan dibina pada tahun hadapan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jalan baharu tersebut.
Jalan baharu ini akan menghubungkan lebuh raya PLUS dengan laluan Nilai-Labu-Enstek (NLE) yang sedang dibina sejauh 18 kilometer.
Projek NLE dijangka siap pada Julai 2026 dan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kita dimaklumkan akan ada jalan dan Plaza Tol PLUS baharu dengan pembinaannya pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pengurusan lanjut projek masih dalam perbincangan.
Beliau berharap laluan baharu ini dapat mengurangkan kesesakan trafik dari Senawang ke Kuala Lumpur atau arah utara.
“Laluan alternatif ini sebahagian daripada penyuraian segera,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh.
Pelbagai persediaan dilakukan bagi memastikan segala keperluan mencukupi sekiranya berlaku banjir.
Beliau berkata pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.
“Beberapa kawasan berisiko telah dikenal pasti dan kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan musim hujan juga tak menentu,” katanya.
Mengenai kes influenza, Aminuddin berkata tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-44.
Ini menunjukkan penurunan berbanding 27 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya. – Bernama









