PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk melanjutkan kesahan lesen pengendali yang diluluskan bagi kenderaan perkhidmatan awam dan komersial kepada tiga sehingga lima tahun akan menjadikan industri pengangkutan lebih cekap, kata Persatuan Pengangkut Malaysia (AMH).
Presidennya Soo Chee Yeong berkata AMH telah meminta pembaharuan proses lesen kenderaan perdagangan ini dipermudahkan sejak beberapa lama dan akhirnya ia membuahkan hasil selepas banyak pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
ââKeputusan ini akan memudahkan operasi pengangkutan kontena kami kerana biasanya, kami mempunyai satu kepala lori bagi menarik lima hingga tujuh treler.
âAda ahli kami yang mempunyai beberapa ratus lori dengan beberapa ribu treler di seluruh negara. Jika mereka memperbaharui lesen hanya untuk satu tahun, setiap jentera perlu dilampirkan dengan lesen dan salinan cukai jalan. Sebaik sahaja mereka melengkapkan kertas kerja mereka, mereka perlu memikirkan pembaharuan seterusnya. Pembaharuan lesen selama setahun ini adalah sangat tidak praktikal,â katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pada 7 Mei, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa MOT melalui APAD telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh sah lesen pengendali yang diluluskan bagi kenderaan perkhidmatan awam serta komersial kepada sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga lima tahun dari sebelum ini iaitu antara satu dan dua tahun bergantung kepada kriteria yang dipenuhi. Kajian semula ini dibuat susulan kesukaran yang ditimbulkan akibat pandemik Covid-19 ke atas industri pengangkutan.
Menurut Soo lagi, dengan kelulusan MOT untuk melanjutkan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, ia pasti akan membantu pemain industri mengurangkan beban kerja dan menjadikan industri pengangkutan secara keseluruhan lebih cekap.
Dengan syarat baharu yang diperlukan lebih telus seperti pematuhan standard keselamatan, kewangan, pelesenan dan syarikat atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pemain industri kini akan tahu kriteria mana yang perlu diperbaiki sekiranya gagal memperbaharui lesen.
Pengarah Urusan Syarikat Logistik Petikemas Sdn Bhd, Abdullah Mahmud berkata inisiatif itu merupakan langkah positif yang akan meringankan kesukaran yang dihadapi peneraju sebenar industri dalam mendapatkan pembaharuan permit, mengurangkan kos pengurusan serta menjaga kesihatan kakitangan dalam cabaran pandemik sekarang ini.
ââTahniah kepada MOT kerana menunjukkan pemahaman mengenai nasib industri dan kami berharap MOT akan bersetuju untuk terlibat dengan persatuan kami serta tampil dengan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan industri tanpa menjejaskan dasar, terutamanya dasar keselamatan,ââ katanya.
Operator kenderaan perkhidmatan awam dan komersial layak mendapat lesen lima tahun tetapi perlu memenuhi syarat-syarat tertentu seperti piawaian keselamatan, syarikat perlu menghadiri latihan keselamatan iCOP, setiap kenderaan perlu berdaftar dengan APAD termasuk dilengkapi dengan GPS serta armada kenderaan syarikat tidak mempunyai saman aktif daripada polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan.
Selain itu, syarikat juga perlu mengemukakan laporan tahunan terkini yang telah diaudit, mencapai lebih daripada 80 peratus jangkaan hasil tahunan yang hanya terpakai untuk kenderaan barangan serta mempunyai permit aktif dengan kenderaan. -Bernama









