Menteri Dalam Negeri akan berjumpa AGC esok untuk taklimat lengkap sebelum tentukan hala tuju siasatan kes kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) esok bagi mendapatkan taklimat lengkap mengenai kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.
Beliau berkata pertemuan itu penting untuk memahami keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi dan membuka semula kertas siasatan.
“Esok pagi saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai berkenaan dari Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes ini daripada awal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Saifuddin Nasution menekankan bahawa beliau tidak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan sebelum mendapat taklimat lengkap.
Beliau menyifatkan kes itu sebagai ‘legasi’ kementerian yang berlanjutan sejak 2016 dan 2017.
Kes tersebut telah melalui beberapa peringkat siasatan termasuk semakan kehakiman oleh keluarga kedua-dua individu untuk mendapatkan akses kepada laporan siasatan.
Keputusan mahkamah juga melibatkan arahan membuka semula kertas siasatan termasuk menetapkan klasifikasi kes dan hala tuju siasatan oleh polis.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Koh pada 13 Februari 2017.
Mahkamah semalam memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah juga mengarahkan bayaran lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew setelah membenarkan saman yang difailkan kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis.
AGC memaklumkan pihaknya akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung kes kehilangan Amri dan Koh.
Dalam dua kenyataan berasingan hari ini, AGC memaklumkan notis rayuan itu berkaitan dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo.
Hakim tersebut memutuskan pihak polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan dua individu berkenaan. – Bernama









