Bekas timbalan pengarah jabatan kerajaan ditahan SPRM Pulau Pinang disyaki terima rasuah RM35,000 daripada kontraktor untuk projek tender.
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan bekas timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan hari ini kerana disyaki menerima rasuah RM35,000.
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2022.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya serta secara tunai,” katanya.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Karunanithy menyatakan suspek yang kini ditahan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM. – Bernama









