Akta MARA 1966 akan dipinda untuk pastikan tadbir urus baik dan relevan, kata TPM Ahmad Zahid, dengan aset MARA melebihi RM23 bilion.
PUTRAJAYA: Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan dipinda bagi memastikan agensi itu terus relevan dan ditadbir dengan tatakelola yang baik.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan tersebut penting kerana MARA sebagai konglomerat dengan aset melebihi RM23 bilion perlu diurus dengan cekap.
“MARA mesti diuruskan dengan terbaik dan kembali kepada core business terdahulu yang bertepatan dengan tujuan penubuhannya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau menegaskan kesilapan oleh kepimpinan terdahulu harus diperbetulkan melalui pindaan akta ini.
“Kita mesti membuktikan bahawa MARA berada di landasan yang betul,” tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dengan aset, pelaburan dan keuntungan sedia ada, MARA akan mampu berdiri sendiri untuk membiayai semua aktiviti Kongres Ekonomi Bumiputera.
Ahmad Zahid berkata MARA diberi tempoh enam bulan untuk merangka rang undang-undang bagi pindaan tersebut.
Sementara itu, beliau menyatakan pindaan Akta Orang Asli 1954 kini berada di peringkat akhir dan telah mendapat persetujuan kerajaan negeri.
“Yang paling penting ialah persetujuan daripada kerajaan negeri kerana ia melibatkan soal tanah dan beberapa aspek berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri,” jelasnya.
Perkara tersebut telah dibawa ke persidangan Menteri-Menteri Besar baru-baru ini setelah diselesaikan di peringkat kementerian dan jabatan.
Akta Orang Asli 1954 sedang dipinda bagi mempertahankan dan mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli.
Pindaan tersebut meliputi tujuh aspek iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan. – Bernama






