Pembangunan HHFS di Tasik Kenyir dilaksanakan tiga fasa, fasa pertama 500MW, fasa kedua hab hidrogen hijau, fasa ketiga 1,000MW
KUALA TERENGGANU: Pembangunan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa utama.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata proses penilaian bidaan kontrak sedang dijalankan bagi pelaksanaan fasa pertama.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui agensi pelaksana sedang meneliti cadangan syarikat berpengalaman dalam pembangunan tenaga solar terapung berskala besar.
“Fasa pertama dijangka menjana kapasiti tenaga sebanyak 500 megawatt yang akan disambungkan ke grid nasional,” katanya di Wisma Darul Iman.
Fasa kedua akan melibatkan pembangunan Hab Hidrogen Hijau sebagai komponen utama ekosistem tenaga hijau bersepadu di Tasik Kenyir.
Petronas sedang menjalankan kajian komprehensif serta perancangan awal berhubung cadangan pembinaan kilang hidrogen hijau di kawasan berkenaan.
Hab itu dijangka menjadi platform penting bagi penghasilan hidrogen hijau berasaskan tenaga solar dan hidro.
Ia boleh digunakan untuk keperluan domestik serta dieksport ke pasaran antarabangsa sejajar dengan hala tuju Malaysia ke arah neutral karbon menjelang 2050.
Fasa itu berpotensi menjadikan Terengganu sebagai negeri perintis dalam rantaian nilai tenaga hidrogen hijau.
Fasa ketiga projek masih dalam peringkat kajian dan perancangan serta dijangka melibatkan penambahan kapasiti penjanaan tenaga solar hingga 1,000 MW.
“Fasa itu akan memperkukuh kedudukan Tasik Kenyir sebagai hab tenaga boleh diperbaharui terbesar di Pantai Timur,” katanya.
Kajian bagi fasa ketiga turut meneliti aspek kemampanan alam sekitar, impak sosioekonomi setempat serta kebolehlaksanaan teknikal dan kewangan.
Pembangunan yang dijalankan tidak akan menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir yang juga kawasan tadahan air utama negeri. – Bernama






