PM Anwar umum kerajaan setuju secara dasar tambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, jumlah sebenar ditentukan SPR mengikut keperluan
KOTA KINABALU: Kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan jumlah pengundi di kedua-dua negeri tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada komitmen khusus untuk meningkatkan kerusi sehingga satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.
Beliau menyatakan kerajaan tetap komited menambah bilangan kerusi mengikut keperluan sebenar.
“Sebagai dasar, kita perlu menambah bilangan kerusi. Tetapi jumlah sebenar kerusi adalah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.
Anwar berkata beliau telah meminta peguam negeri Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara menyelesaikan perkara tersebut.
Penambahan kerusi itu antara perkara yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Pada masa ini, Sabah memiliki 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak mempunyai 31 kerusi.
Pada 26 September lepas, Anwar telah mengulangi komitmen kerajaan untuk menambah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri tersebut.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyentuh mengenai kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.
Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan projek itu disiapkan melalui jawatankuasa yang betul dan proses tender yang telus.
“Saya dah dengar hampir 20 tahun mengenai Pan Borneo, tetapi di Sabah masih belum siap,” katanya.
Anwar menegaskan jika ada syarikat tempatan yang mampu, mereka akan diberi peluang melalui syarat yang ditetapkan. – Bernama






