Rakyat Chile mengundi pilihan raya presiden dan parlimen dengan persaingan antara blok kiri dan kanan ekstrem, tiada calon dijangka menang pusingan pertama
BOGOTA: Rakyat Chile keluar mengundi pada Ahad bagi memilih presiden dan anggota parlimen dalam pilihan raya yang terbahagi dua, dengan persaingan presiden kini tertumpu kepada pertembungan antara blok kiri dan kanan ekstrem.
Tiada calon dijangka memperoleh majoriti mutlak, sekali gus hampir pasti membawa pemilihan presiden ke pusingan kedua pada 14 Dis, menurut Anadolu Ajansi.
Lapan calon bertanding bagi jawatan presiden, namun persaingan ke Palacio de la Moneda tertumpu kepada calon haluan kiri gabungan pemerintah dan pemimpin pembangkang ultra-konservatif.
Jeannette Jara daripada Parti Komunis, bekas menteri buruh dan kebajikan sosial berusia 51 tahun di bawah Presiden Gabriel Boric, merupakan calon bagi gabungan pemerintah Unity for Chile. Menurut tinjauan utama seperti Cadem dan Activa, beliau mendahului dengan kira-kira 25 hingga 30 peratus hasrat pengundi.
Jose Antonio Kast, pengasas Parti Republikan yang berhaluan kanan ekstrem dan tewas kepada Boric dalam pusingan kedua 2021, berada di tempat kedua dengan sokongan sekitar 15 hingga 20 peratus.
Undi blok haluan kanan kekal berpecah, yang menghalang mana-mana calon daripada meraih sokongan mencukupi untuk menang pada pusingan pertama.
Johannes Kaiser daripada Parti Pendukung Kebebasan Nasional, seorang timbalan kanan ekstrem dan YouTuber, memperoleh sokongan ketara terutama dalam kalangan pengundi muda yang cenderung ke haluan kanan. Beliau mencatat sokongan antara 10 hingga 14 peratus.
Evelyn Matthei daripada Kesatuan Demokratik Bebas pula mewakili blok kanan tradisional Chile. Beliau ialah bekas Menteri Buruh di bawah Presiden Sebastián Piñera dan kini mencatat sokongan kukuh antara 11 hingga 14 peratus.
Pilihan raya kali ini merupakan yang pertama mewajibkan semua warganegara yang layak untuk mengundi, sekali gus dijangka meningkatkan kadar keluar mengundi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kira-kira 15.7 juta rakyat layak mengundi.
Menurut Anadolu, pilihan raya berlangsung ketika keresahan awam meningkat berhubung isu domestik, dengan jenayah dan imigresen menjadi kebimbangan utama pengundi dalam tinjauan.
Selain pemilihan presiden, rakyat turut memilih semula keseluruhan anggota Dewan Timbalan dan separuh anggota Senat dalam pilihan raya parlimen serentak.
Pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang waktu tempatan, manakala presiden baharu dijadual mengangkat sumpah pada 11 Mac 2026. – Bernama-Anadolu






