PGRS Bahagian Sukau menafikan dakwaan 2,000 ahlinya keluar parti, mendakwa jumlah sebenar kurang 10 orang dan ia provokasi politik murahan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sukau menegaskan bahawa dakwaan kononnya lebih 2,000 ahli bahagian itu keluar parti adalah tidak benar, tidak berasas, berunsur fitnah dan hanya “fantasi politik”.
Setiausaha PGRS Bahagian Sukau Emerson Dawang berkata hasil penelitian dan pengesahan dalaman mendapati jumlah sebenar ahli yang keluar tidak melebihi 10 orang.
Beliau berkata sebahagian individu dikaitkan dalam dakwaan keluar parti merupakan ahli baharu yang sebelum ini menyertai Parti Warisan sebelum mereka mengikut langkah bekas Ketua Pergerakan Wanita PGRS Bahagian Sukau Dayang Norhayati Titing menyertai Barisan Nasional.
“Dayang Norhayati telah lama tidak aktif dalam aktiviti parti di peringkat bahagian dan cawangan yang dipimpinnya juga didapati berstatus tidak aktif,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Emerson berkata kenyataan Dayang Norhayati bahawa 2,000 ahli keluar parti adalah satu provokasi politik murahan yang cuba menggambarkan seolah-olah PGRS Bahagian Sukau sedang berdepan krisis, sedangkan hakikatnya perkara itu jauh daripada kebenaran.
Beliau berkata justeru itu, PGRS Bahagian Sukau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan memandang serius percubaan mana-mana pihak untuk mencemarkan imej parti dengan menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat.
Emerson berkata PGRS Bahagian Sukau kekal kukuh, tersusun dan terus berkembang dengan kemasukan ahli baharu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Jentera PGRS di kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau berada dalam keadaan bersiap siaga dan terus memperkukuhkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan undi awal pada 25 Nov. – Bernama






