Bung Moktar akui menjadi sasaran parti lawan dalam PRN Sabah tetapi yakin BN mampu pertahankan DUN Lamag dan 44 kerusi lain
KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin sedar beliau kini menjadi sasaran beberapa pihak yang mahu melihatnya dan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kerusi berkenaan kini menjadi sasaran pihak lawan yang telah mengerahkan segala jentera untuk memastikan beliau tewas di DUN itu.
Pada PRN Sabah ke-16, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN negeri berjaya memenangi persaingan lima penjuru di DUN Lamag dengan majoriti 661 undi.
Bung Moktar berkata walaupun berhadapan dengan apa yang disifatkan sebagai “panahan” politik oleh musuh-musuhnya, ia tidak sama sekali menggentarkan beliau yang berkeyakinan penuh terhadap peluang BN di Lamag dan 44 DUN lain.
“Selaku Pengerusi BN Sabah dan ketua UMNO Sabah, sudah tentu panah-panah itu semua sasarannya kepada saya.
“Insya-Allah, saya tetap yakin pengundi Lamag akan terus memilih BN kerana saya telah mencurahkan segala tenaga di samping jentera juga sudah dibentuk di semua kawasan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
DUN Lamag yang terletak dalam Parlimen Kinabatangan antara kerusi tumpuan pada PRN Sabah, dengan isu pembangunan asas dan taraf hidup masyarakat luar bandar dijangka menjadi fokus utama pengundi.
Pada PRN Sabah kali ini, DUN Lamag akan menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Bebas, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Impian Sabah (PIS).
Terletak kira-kira 316 kilometer dari Kota Kinabalu, kawasan pedalaman itu bukan sekadar kubu politik Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, tetapi simbol kekuatan dan ujian sebenar buat BN di pantai timur negeri ini.
Sebagai antara 13 kerusi baharu diwujudkan hasil persempadan semula kawasan pilihan raya pada PRN lepas, Lamag kekal berdepan cabaran pembangunan luar bandar seperti jalan tidak berturap, capaian internet terhad serta peluang pekerjaan yang tidak seimbang.
Dalam konteks lebih luas, Bung Moktar berkata PRN kali ini bukan sekadar medan mempertahankan kerusi, tetapi juga adalah ujian besar untuk menilai sejauh mana BN masih diterima sebagai parti bertunjangkan pembangunan di Sabah.
Beliau berkata isu yang dimainkan oleh parti lawan seperti slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ dan seruan “pilih parti lokal” hanyalah retorik politik tanpa tawaran konkrit kepada rakyat negeri yang kaya dengan sumber asli.
“Lamag ini dulu hutan rimba. Tidak ada orang kenal pun dan setelah saya menjadi wakil rakyat, saya bertekad untuk mengubah wajah Lamag dan Alhamdulillah, hari ini masyarakat nampak pembangunan yang ada,” katanya.
Beliau mengakui masih ada beberapa keperluan infrastruktur yang belum direalisasikan seperti kolej komuniti dan kompleks sukan, namun menegaskan bahawa pembangunan fizikal yang dicapai setakat ini telah meletakkan Lamag sebaris dengan DUN lain di Sabah.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata walaupun DUN Lamag dianggap sebagai ‘kerusi panas’, namun kekuatan Bung Moktar masih kukuh di peringkat akar umbi berikutan faktor personaliti dan legasi perkhidmatannya di Kinabatangan.
“Walaupun beberapa parti tempatan bersedia menyaingi BN, Bung Moktar masih mempunyai cengkaman kuat di Lamag kerana beliau bukan sekadar pemimpin politik, tetapi tokoh berani dan sudah menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal.
“Kalau Bung gagal di Lamag, itu bermakna BN bermasalah di negeri ini. Maka, beliau wajib mempertahankan kerusi itu dengan segala upaya,” katanya.
Berdasarkan Daftar Pemilih Induk setakat Ogos 2025, DUN Lamag mempunyai 13,859 pengundi berdaftar, dengan 4,635 atau 33.4 peratus daripadanya merupakan pengundi muda berumur antara 18 hingga 29 tahun, satu angka signifikan yang menjadikan suara belia penentu corak sokongan kali ini.
Romzi berkata lebih separuh daripada pengundi Lamag berada dalam kelompok usia 21 hingga 49 tahun, mencerminkan demografi aktif yang menuntut peluang pekerjaan, jaringan ekonomi serta pembangunan komuniti yang lebih seimbang.
“Anak muda di Sabah kini lebih objektif dan menilai calon berdasarkan keupayaan serta rekod perkhidmatan, bukan semata-mata slogan atau sentimen parti. Siapa yang mampu bawa pembangunan sebenar akan dapat menawan hati mereka.
“Pengundi muda mahu lihat siapa yang benar-benar membawa perubahan, bukan jenama parti semata-mata,” katanya sambil menambah bahawa perpecahan undi dalam kalangan parti lawan boleh memberi kelebihan kepada Bung Moktar di Lamag.
Dengan faktor geografi yang luas, jaringan logistik yang mencabar dan pengaruh media sosial yang semakin meluas, Lamag juga berpotensi menjadi kayu ukur penting dalam menilai sokongan pengundi luar bandar terhadap parti-parti utama di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal dan hari pengundian PRN Sabah ke-17 masing-masing pada 25 dan 29 Nov. – Bernama






