KPDN KL merampas barangan bernilai RM4.5 juta dalam operasi penguatkuasaan, dengan 546 kes berjaya dihasilkan dan 97% aduan pengguna diselesaikan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas barangan bernilai RM4.5 juta dalam operasi penguatkuasaan sejak Januari hingga 30 Oktober lalu.
Barangan yang dirampas termasuk barangan tiruan dan gas petroleum cecair (LPG).
Pengarah KPDN KL Mohd Sabri Seman berkata nilai rampasan itu merupakan komponen terbesar dalam tindakan penguatkuasaan mereka.
“Dalam tempoh ini, 546 kes berjaya dihasilkan melalui operasi berterusan di seluruh Kuala Lumpur,” katanya.
Kompaun berjumlah RM704,400 dan denda RM179,928 telah dikenakan.
Sebanyak 101 anggota penguat kuasa digerakkan dengan fokus kepada keberadaan di lapangan.
Sebanyak 34,566 premis diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan harga, timbangan dan barang kawalan.
KPDN KL menerima 8,424 aduan pengguna dengan perkhidmatan dalam talian mencatat aduan tertinggi iaitu 32.8%.
“Daripada jumlah keseluruhan aduan, 97.07% berjaya diselesaikan,” katanya.
Sebanyak 1,242 Program Jualan Rahmah MADANI telah dianjurkan di 11 kawasan Parlimen di ibu negara.
Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak adalah inisiatif paling aktif dengan 895 program dilaksanakan.
Program ini membolehkan rakyat memperoleh barangan keperluan pada harga 10 hingga 30% lebih rendah berbanding harga pasaran. – Bernama






