Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual kembali ke Sabah untuk meneruskan kempen PH menjelang PRN Sabah ke-17.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai kempen pilihan raya negeri Sabah sejurus pulang daripada lawatan rasmi ke Afrika.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar secara peribadi menyatakan komitmen untuk mengetuai kempen Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
“Buat masa sekarang, perancangannya adalah untuk beliau turun ke Sabah bagi meneruskan kempen berbaki beberapa hari lagi sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya dalam taklimat media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Beliau menambah Pejabat Perdana Menteri dan pasukan PH akan mengumumkan jadual Anwar di Sabah sebaik mendapat persetujuan semua pihak.
Anwar akan melawat Ethiopia dari 18 hingga 20 November sebelum ke Afrika Selatan untuk Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai pengerusi ASEAN dari 20 hingga 23 November.
Beliau kemudiannya akan mengadakan lawatan rasmi ke Kenya pada 23 hingga 24 November dan dijangka pulang ke Malaysia pada 25 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17 manakala pengundian awal pada 25 November.
Pakatan Harapan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya tersebut. – Bernama






