Video tular tembakan di Stadium Hang Jebat adalah latihan ATM, melibatkan simulasi penyelamatan tebusan orang kenamaan dengan 45 anggota dan kenderaan awam.
MELAKA: Video tular berdurasi 45 saat yang memaparkan aksi bersenjata di hadapan Stadium Hang Jebat merupakan sebahagian daripada latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit mengesahkan simulasi menyelamat tebusan orang kenamaan itu dilaksanakan dengan selamat dan terkawal.
“Simulasi bertumpu kepada rundingan yang tidak mendapat persetujuan musuh dan seterusnya memerlukan tindakan taktikal oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Latihan selama 45 minit itu diadakan semalam dan membabitkan 45 anggota yang bertindak sebagai musuh dan pihak berkuasa.
Ia sebahagian daripada Kursus Tempur Jarak Dekat Siri TJD/1/2025 yang bermula pada 10 November dan berakhir 22 November.
Christopher berkata latihan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Ayer Keroh, Banda Hilir, Klebang, Simpang Ampat dan Sungai Udang.
Sepanjang latihan, orang ramai mungkin melihat pergerakan kenderaan menggunakan reben hijau dan anggota memakai pas pengenalan kelabu.
Beberapa kenderaan awam digunakan termasuk Perodua Myvi, Bezza, Ativa, Honda City, Proton Saga, Toyota Noah serta motosikal Yamaha dan Honda.
“Semua anggota terlibat lengkap dengan peralatan keselamatan latihan serta dibekalkan peluru kosong bagi tujuan simulasi,” jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan maklumat tidak sahih berkaitan pergerakan konvoi bersenjata atau bunyi tembakan kosong.
Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Latih Kapt Muhammad Silmi Mansor di talian 014-5224634.







