UMT beri amaran aktiviti memberi makan penyu sebabkan toksin logam berat, ganggu tingkah laku liar dan ancam ekosistem marin
KUALA NERUS: Pengusaha pelancongan di pulau-pulau digesa menghentikan promosi aktiviti memberi makan penyu kerana perbuatan itu memberi kesan sangat buruk terhadap kesihatan haiwan berkenaan.
Ketua Pusat Konservasi Marin Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata kajian terbaharu mendapati kandungan logam berat seperti arsenik dan mangan dalam sampel darah penyu muda di Teluk Dalam, Pulau Redang sangat tinggi dan membimbangkan.
Beliau berkata ia dikenal pasti berpunca daripada sisa makanan di kawasan pelancongan seperti ikan selayang serta sotong yang diberikan kepada penyu untuk tujuan menjinakkan haiwan berkenaan.
“Makanan yang diambil dari kawasan pelancongan ini mempunyai kandungan logam berat yang tinggi. Lama-kelamaan toksin yang berkumpul akan melemahkan organ, sistem imun dan kesihatan jangka panjang penyu.
“Memberi makan penyu seumpama kita meracun mereka dalam senyap. Kajian UMT terhadap kesihatan penyu di Teluk Dalam, Pulau Redang bermula sejak 2019 lagi, dengan pemantauan terhadap profil darah serta kesihatan haiwan itu.
Mohd Uzair berkata beliau mendapat bukti yang jelas hasil laporan saintifik penuh dua pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berkaitan fisiologi dalaman penyu tahun ini.
Beliau berkata hasil kajian itu juga mendapati penyu muda mempunyai berat badan berlebihan, mengalami perubahan mikrobiota usus iaitu petanda tekanan fisiologi serta risiko kerosakan organ akibat kandungan arsenik dan margan.
Menurut Mohd Uzair, kebergantungan kepada manusia untuk mendapatkan makanan turut memberi kesan negatif kepada perubahan tingkah laku liar penyu, yang akhirnya menyebabkan gangguan kepada ekosistem atau keseimbangan alam.
“Perubahan tingkah laku menyebabkan penyu gagal menjalankan fungsi ekologinya. Antara kesan yang boleh dilihat ialah peningkatan populasi ubur-ubur apabila bilangan penyu berkurang atau mereka tidak menjalankan peranan untuk mengawal spesies berkenaan.
“Selain itu, jika penyu tidak makan rumput laut, ia juga boleh menjejaskan kesihatan alga marin berkenaan kerana ia perlu diragut untuk menjamin kesihatan pertumbuhannya,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Uzair berkata pihak kerajaan melalui agensi berkaitan perlu menguatkuasakan larangan memberi makan kepada haiwan marin di kawasan pelancongan dan taman laut dengan segera kerana memberi kesan buruk terhadap kesihatan penyu.
Beliau berkata mana-mana pihak yang mempromosi aktiviti memberi makan penyu di media sosial juga perlu diberi amaran atau dikenakan tindakan tegas.
“Orang ramai perlu elakkan membeli pakej pelancongan yang mempromosi aktiviti memberi makan penyu. Walaupun mereka (penyu) nampak lapar, jangan hulurkan makanan. Biar penyu mencari sumber makanan semula jadinya.
“Penyu boleh hidup sehingga 80 tahun tetapi satu tabiat buruk manusia boleh memendekkan hayat mereka dengan cepat,” katanya.- Bernama







