535 pelajar UMK Kampus Kota belajar dalam talian selepas banjir, 527 pelajar ditempatkan di tingkat atas kolej kediaman untuk keselamatan
KOTA BHARU: Seramai 535 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota memulakan pembelajaran dalam talian mulai hari ini ekoran banjir yang melanda negeri ini.
Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas kampus dan kolej kediaman terjejas akibat hujan berterusan sejak Khamis lalu.
Beliau menekankan bahawa langkah ini membolehkan sesi pengajaran diteruskan sementara kuliah fizikal hanya akan dijalankan apabila keadaan pulih sepenuhnya.
“Setakat ini, sebanyak 527 pelajar masih menetap di kolej kediaman Kampus Kota dan telah ditempatkan di tingkat atas bagi mengelak risiko banjir,” katanya selepas melakukan tinjauan di UMK Kampus Kota.
Lapan pelajar yang tinggal di rumah sewa sekitar Pengkalan Chepa telah dipindahkan sementara ke Fakulti Veterinar di Padang Tembak.
Semua pelajar terjejas akan mengikuti pengajian secara dalam talian dengan memo rasmi telah dikeluarkan kepada fakulti terlibat.
Arham berkata universiti telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam di seluruh kampus sejak Jumaat lalu.
Bilik gerakan itu berperanan menyalurkan maklumat terkini dan bantuan kepada pelajar serta staf yang berada di kampus dan kawasan sekitar.
UMK juga melaksanakan pemantauan di kolej kediaman pelajar secara berkala bagi memastikan langkah keselamatan diambil sepanjang tempoh banjir.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan pelajar, termasuk keperluan asas, makanan dan sokongan logistik, terus diselia oleh pihak universiti,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kampus Jeli dan Kampus Bachok tidak terjejas akibat banjir ini.
Semalam, UMK Kampus Kota dan bangunan di persekitarannya terjejas dan ditenggelami banjir ekoran hujan lebat berterusan tahap waspada. – Bernama







