APM Negeri Sembilan gerakkan 1,135 anggota dan aset darat-air untuk pantau 123 kawasan banjir sepanjang Monsun Timur Laut
SEREMBAN: Sebanyak 1,135 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut.
Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata kesiapsiagaan itu melibatkan aset darat dan air serta penyediaan logistik di semua daerah.
Beliau berkata APM menjalankan pemantauan berterusan di 123 kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti di seluruh negeri.
“Semua pegawai dan anggota APM telah berada dalam mod kesiapsiagaan sejak 1 Nov lepas berikutan jangkaan peningkatan hujan sepanjang musim MTL,” katanya.
Mohd Nazri menekankan koordinasi dengan agensi berkaitan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
APM turut memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Daerah berfungsi pada tahap optimum untuk memudahkan proses penyampaian bantuan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mematuhi arahan pemindahan apabila diperlukan. – Bernama







