NADMA aktifkan 63 PPS, 13,915 mangsa banjir di Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, kata Ahmad Zahid
PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menggerakkan sepenuhnya semua cabang agensi keselamatan di setiap peringkat bagi menghadapi banjir yang kini menjejaskan beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 63 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan setakat ini di seluruh kawasan yang terjejas.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JPBP berkata laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana NADMA sehingga 4 petang tadi merekodkan 4,844 keluarga melibatkan seramai 13,915 mangsa telah terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan di beberapa negeri.
“Kelantan antara yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi melibatkan 3,487 keluarga dan 9,503 orang mangsa, diikuti Perak 485 keluarga dan 1,538 orang mangsa, Perlis 426 keluarga dan 1,426 orang mangsa, Kedah 168 keluarga dan 542 orang mangsa, Pulau Pinang 106 keluarga dan 414 orang mangsa, Selangor 94 keluarga dan 283 orang mangsa dan Terengganu 78 keluarga dan 209 orang mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air dan banjir susulan musim tengkujuh.
Ahmad Zahid berkata ketika ini lebih 1,205 anggota APM Kelantan telah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan rakyat khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air.
Pada masa sama, beliau berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) turut beroperasi 24 jam bagi menjalankan pemantauan rapi terhadap keadaan cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko.
Ahmad Zahid berkata APM juga melaksanakan beberapa Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif bagi meningkatkan kesiapsiagaan di lapangan antaranya pengaktifan awal PKOD di semua daerah termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan daerah yang berisiko, rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan berisiko banjir serta hebahan maklumat terkini melalui media sosial APM serta kerjasama rapat dengan agensi lain pengurusan bencana.
“Kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke PPS dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.
“Justeru, saya ingin menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyarankan agar semua pihak mendapatkan maklumat dan amaran situasi banjir menerusi laman publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.
Sementara itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” katanya. – Bernama







