Penduduk Felda Mata Ayer terpaksa pindah ke PPS akibat banjir paras pinggang, pengalaman pertama dalam 41 tahun tinggal di kawasan itu
PADANG BESAR: Penduduk Felda Mata Ayer tidak menyangka perlu menghadapi situasi banjir teruk yang mencecah paras pinggang sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Rata-rata penduduk Felda itu yang ditemui di PPS Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer memaklumkan mereka tidak membuat sebarang persediaan bagi menghadapi banjir.
Rokiah Man, 64, berkata beliau belum pernah mengalami situasi banjir seumpama itu sejak 41 tahun tinggal di Felda berkenaan.
“Saya memang tidak sangka banjir ini akan berlaku, sebelum ini air naik pun sikit dan cepat surut, tidaklah seteruk sekarang sehingga kena pindah ke PPS,” katanya.
Rokiah berkata kawasan rumahnya mula dinaiki air sekitar 10 pagi semalam dan pada masa itu air hanya pada paras buku lali sahaja sebelum meningkat mendadak dengan begitu cepat.
Bagaimanapun keluarga beliau sempat mengangkat barangan elektrik yang penting ke tempat tinggi atas meja serta anaknya sempat mengalihkan kereta ke tempat selamat.
Seorang lagi penduduk, Rahayani Suboh, 38, berkata beliau belum pernah berhadapan situasi banjir seteruk itu sepanjang tempoh 12 tahun tinggal bersama keluarga mentuanya di Felda tersebut.
“Walaupun hujan lebat tak pernah lagi kena banjir sampai macam ini, hujan dari tengah malam Sabtu itu hingga menyebabkan sekitar 11 pagi air mulai meningkat naik hingga ke paras pinggang,” katanya.
Keluarga Rahayani tidak sempat membuat persediaan apa-apa hanya sempat memindahkan peti ais ke tempat tinggi.
Meskipun kali pertama berlindung di PPS, kedua-duanya menyatakan mereka selesa dengan kemudahan yang disediakan dan boleh menyesuaikan diri.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, setakat 8 malam tadi, mangsa banjir di negeri itu adalah seramai 2,017 orang daripada 594 keluarga.
Mereka ditempatkan di sembilan PPS bagi kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar. – Bernama







