PH dan BN perkukuh kerjasama di DUN Moyog melalui penyelarasan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan calon PH Remysta Jimmy Taylor
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Moyog terus diperkukuh bagi memastikan kemenangan calon PH Remysta Jimmy Taylor pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu dizahirkan menerusi penyelarasan jentera pilihan raya antara kedua-dua gabungan.
“Dalam masa tiga hari sahaja selepas berbincang, kita sudah melihat sokongan padu bukan sahaja daripada UMNO, malah MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah Penampang yang komited membantu calon PH di Moyog,” katanya pada majlis perjumpaan BN DUN Moyog di Penampang.
Ketua Bahagian UMNO Penampang Datuk Mohd Hasnol Ayub menegaskan bahawa pendirian BN Penampang adalah jelas kerana komited mendukung kerjasama BN-PH seperti diputuskan kepimpinan peringkat pusat.
Beliau berkata kerjasama seumpama itu wajar diperluas ke DUN lain bagi memastikan semua jentera beroperasi dalam keadaan harmoni.
Mohd Hasnol turut menyifatkan Remysta sebagai pemimpin berwibawa, matang dan berpotensi membawa pembaharuan kerana mempunyai visi yang jelas.
Remysta berkata gabungan jentera dua gabungan itu merupakan satu bentuk sokongan yang dapat meningkatkan semangat kempen.
“Sudah tentu saya gembira, tetapi kita tidak boleh selesa,” katanya.
Pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah akan berlangsung esok manakala hari mengundi ditetapkan pada Sabtu ini. – Bernama







