the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, November 25, 2025
26 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Proses undi awal PRN Sabah berjalan lancar di 58 pusat mengundi

 24,426 pengundi awal laksanakan tanggungjawab di PRN Sabah ke-17 dengan keluar mengundi 61.72% setakat 11 pagi di 58 pusat mengundi seluruh negeri

KOTA KINABALU: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di 58 pusat mengundi berlangsung lancar meskipun cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian mendapati suasana terkawal dengan anggota tentera, polis serta pasangan masing-masing hadir seawal 7 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata semua berjalan lancar walaupun keadaan cuaca tidak berapa elok.

“Alhamdulillah, selepas proses pengundian awal bermula, cuaca semakin baik dan kita harap keadaan ini akan berterusan hingga tamat proses undi awal petang nanti,” katanya.

Di Putatan, proses pengundian awal turut berlangsung secara teratur di Sekolah Agama Rakyat Kem 5 Divisyen Lok Kawi.

Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin dan isteri menjadi individu pertama mengundi tepat pada 8 pagi.

Seramai 3,097 pengundi terdiri daripada 2,569 anggota tentera dan 528 pasangan dijadual menunaikan tanggungjawab di pusat berkenaan.

Di Sandakan, anggota mula berkumpul di Batalion 15 PGA seawal 7 pagi bagi melaksanakan kewajipan masing-masing.

Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan berharap semua 692 anggota yang layak mengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Di Lahad Datu, perjalanan undi awal di Dewan Sri Mawar, Ibu Pejabat Polis Daerah berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata pegawai dan anggotanya telah mula berkumpul seawal 8 pagi.

Secara keseluruhan, seramai 651 pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota IPD Lahad Datu, ESSCOM serta pasangan masing-masing terlibat.

Dzulbaharin berkata sebanyak 227 permit kempen telah dikeluarkan kepada calon manakala dua kertas siasatan dibuka.

Polis Diraja Malaysia turut menubuhkan pasukan bencana khas sebagai persiapan mendepani sebarang kemungkinan terutama banjir.

“Kita doakan agar cuaca bagus dan keadaan pada hari mengundi nanti berjalan lancar,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 24,426 pengundi awal dijadualkan mengundi hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan setakat 11 pagi, peratusan keluar mengundi awal ialah 61.72%.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan 596 calon bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 74 calon Bebas.

Tempoh berkempen yang bermula 15 November lepas akan berakhir pada 11.59 malam 28 November ini. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Ajiya maintains stable Q3 revenue amid cost pressures

Ajiya Bhd reported stable third-quarter revenue of RM77.98 million despite operating in a more challenging cost environment, with profit before tax easing to RM7.32 million due to higher production and raw material costs. Year-to-date, the group recorded RM235.70 million in revenue and maintained a solid balance sheet with low gearing and strong net assets. As it navigates mixed industry conditions, Ajiya is prioritising operational discipline, deeper customer engagement and the expansion of higher-margin, energy-efficient glass products, while recurring interest income continues to support earnings resilience.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories