Tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing usahakan sawah padi sukar dilaksanakan kerana penyewaan tanah tidak direkodkan secara rasmi
KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan berhubung kebanjiran warga asing yang mengusahakan sawah padi sukar dilaksanakan memandangkan penyewaan tanah kepada mereka tidak direkodkan secara rasmi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata masalah itu berpunca daripada keputusan pemilik tanah sendiri yang mengupah atau membenarkan warga asing menjalankan kerja pertanian.
Beliau menjelaskan kelemahan dokumentasi menyebabkan agensi berkaitan tidak dapat mengesahkan status penyewaan atau membuktikan pelanggaran syarat penggunaan tanah.
“Kebanjiran warga asing dalam isu ini memerlukan penyelesaian tadbir urus yang teliti dan melibatkan kerjasama rentas kementerian,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengenai langkah menangani hasil pengeluaran padi rendah yang mendorong kebanjiran warga asing menyewa dan mengusahakan sawah.
Mohamad turut menyatakan kerajaan sedang pada peringkat libat urus bagi menilai keperluan meminda Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004.
Kerajaan juga mempertimbangkan penyertaan dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991).
“KPKM tidak akan memuktamadkan sebarang langkah sebelum mencapai persetujuan meluas termasuk daripada pesawah yang bimbang terhadap kesan dasar baharu,” tegasnya.
Beliau menekankan libat urus cukup penting untuk mencapai kesepakatan dan memastikan pelaksanaan menguntungkan para petani.
Ketika ini kerajaan masih meneliti isu-isu yang dibangkitkan kerana kualiti benih tidak seragam jika dibekalkan secara individu.
“MARDI misalnya ternyata ia membawa hasil yang agak tinggi berbanding benih yang disediakan secara individu,” jelas Mohamad. – Bernama







