Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000 kerana cubaan membunuh anggota polis dengan melanggarnya menggunakan kereta di Klang.
KLANG: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis.
Mohammad Arif Selamat, 33, didakwa memandu kereta sehingga menyebabkan anggota polis terheret di sebuah stesen minyak di Klang pada 12 November.
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 13 November.
Tertuduh juga dihukum 12 bulan penjara jika gagal membayar denda RM10,000.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mohammad Arif yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu bapanya yang berusia 61 tahun dan mempunyai masalah sakit jantung.
Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi memohon hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan hukuman berat perlu bagi menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis membuat rondaan cegah jenayah di Taman Sri Andalas ketika terserempak kereta disyaki terlibat kes samun.
Mangsa kemudian cuba menahan pemandu kereta di sebuah stesen minyak namun Mohammad Arif bertindak agresif dengan menolak anggota polis berkenaan.
Tertuduh kemudian melarikan diri dengan memecut kereta sehingga mengheret mangsa dan hampir menggilis kakinya.







