JAKIM galak jabatan agama Islam negeri laksanakan IKP selepas kejayaan program rintis di Melaka dengan 69 pelajar capai keputusan cemerlang.
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan jabatan agama Islam negeri melaksanakan Ithbat Kelas al-Quran dan Fardu Ain PraTahfiz (IKP) susulan kejayaan program rintis di Melaka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Melaka muncul negeri pertama melaksanakan IKP secara menyeluruh menerusi program perintis bermula 2020.
Beliau berkata keputusan IKP 2025 kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan tujuh pelajar memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (mumtaz mutamayyiz).
“IKP 2025 turut menyaksikan 17 pelajar memperoleh keputusan cemerlang tinggi (mumtaz ‘ali), 25 pelajar mendapat keputusan cemerlang (mumtaz), manakala 19 pelajar meraih keputusan kepujian (jayyid jiddan),” katanya.
Lapan pelajar lagi mencatat keputusan baik (jayyid) dan seorang mendapat keputusan memuaskan (maqbul).
Mohd Na’im berkata kejayaan itu membuktikan IKP mampu menggalakkan murid menghafaz al-Quran sejak peringkat awal.
“Insya-Allah, tujuh pelajar yang mendapat keputusan tertinggi ini akan dibawa masuk ke sekolah terbaik,” katanya.
Beliau menegaskan matlamat kerajaan MADANI adalah membentuk generasi beradab, berbudi pekerti dan berakhlak.
Pelaksanaan IKP dan Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) menjadi antara platform penting ke arah mencapai tujuan tersebut.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada JAKIM, JAIM dan para guru yang komited melahirkan pelajar cemerlang.
Beliau berkata program yang bermula sejak 2020 itu menyaksikan Melaka menjadi negeri pertama menyahut seruan JAKIM.
Diikuti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Optimis dengan keputusan positif IKP 2025, beliau berkata pelaksanaan program memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk mendorong anak-anak menghafaz al-Quran.
Beberapa kelemahan IKP dikenal pasti dan JAKIM bersama jabatan agama Islam negeri akan melaksanakan penambahbaikan berterusan mulai tahun hadapan.







