Dinesh Kumar Mandal didakwa bunuh Sariya Che Hin dan anaknya Nur Afrina di Kampung Sekolah Juru pada 18 Oktober lepas.
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak perempuannya.
Dinesh Kumar Mandal, 35, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Abdul Rahim, 11, pada 18 Oktober lepas di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia akan dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 26 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Tarikh itu diberikan bagi membolehkan laporan bedah siasat, forensik dan kimia disiapkan.







