SPRM siasat dakwaan rasuah libatkan bekas setiausaha politik PM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil Albert Tei dan Shamsul Iskandar untuk merekodkan keterangan dalam masa terdekat.
Beliau berkata SPRM juga akan memanggil semua pihak berkaitan bagi mengumpul bukti yang diperlukan.
“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Baru-baru ini, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan berhubung sepucuk surat sokongan yang dikeluarkan seorang daripada setiausaha politik beliau.
Rafizi turut mencadangkan kemungkinan siasatan oleh SPRM mengenai isu tersebut.







