Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta untuk jadikan Malaysia pusat operasi pemasangan dan ujian, kata PM Anwar
KUALA LUMPUR: Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan ini berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99% siap,” katanya.
Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, yang merupakan anak Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi.
Anwar turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan.
Projek penyelidikan dan pembangunan itu telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.
“Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi,” katanya.
Anwar menambah pelaburan itu juga bertujuan mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia. – Bernama







