Guru saksi inkues dedahkan Zara Qairina menitiskan air mata ketika namanya dipanggil dalam ambulans ke hospital sebelum kematiannya
KOTA KINABALU: Seorang guru memberitahu mahkamah koroner bahawa Zara Qairina Mahathir menitiskan air mata sebanyak dua kali ketika namanya dipanggil dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth.
Nor Asima Zaiton, 49, berkata beliau bergegas ke asrama selepas dihubungi ketua warden pada hari pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri.
“Saya tidak kenal Zara Qairina secara peribadi kerana saya tidak mengajar kelasnya,” katanya.
Beliau hanya menemaninya ke hospital dan membantu paramedik membalut tangan kiri Zara Qairina dalam ambulans.
“Saya kemudian memanggil namanya dan melihat titisan air mata mengalir dari matanya.”
Nor Asima berkata kaki Zara Qairina masih berdarah ketika berada dalam ambulans.
Setelah tiba di hospital, beliau menghubungi ibu Zara Qairina dan memaklumkan mereka sudah sampai.
Saksi ke-55 itu berada di hospital sehingga pukul 1 tengah hari.
Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari pada prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Tambah saksi, beliau juga menyerahkan baju yang dipakai Zara Qairina kepada sepupu ibunya ketika berada di hospital.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung esok. – Bernama







