Laporan tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah akan dibentang ke kabinet dan dibincang dengan SPRM, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah akan dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan itu juga akan dibincangkan secara mendalam bersama pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau berkata laporan itu merangkumi penelitian JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM bagi 2021 hingga 2024.
Ia bertujuan untuk mengenal pasti trend dan perkembangan semasa berkaitan usaha pencegahan rasuah serta cabaran yang dihadapi SPRM.
“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung, dan keyakinan rakyat diperteguh,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak.
“Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat jawatankuasa itu yang diketuai Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau mendengar pembentangan laporan tahunan mereka buat kali pertama. – Bernama







