KUSKOP komitmen seimbangkan ekosistem francais melalui DFN 2030, sokong francais tempatan yang kuasai 52.1% pasaran dengan pembiayaan dan latihan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memastikan ekosistem francais negara kekal seimbang antara pemain tempatan dan jenama antarabangsa.
Ini dilaksanakan menerusi Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) selain menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan dan latihan kepada usahawan tempatan.
Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata setakat ini terdapat 68 francais asing dalam sektor makanan dan minuman berdaftar di bawah sistem Malaysia Franchise Express (MyFaX 2.0).
BACA: 12,645 usahawan India manfaat pembiayaan KUSKOP RM249.8 juta
Francais tempatan masih menguasai pasaran dengan 52.1%.
Beliau berkata kehadiran francais luar negara turut membawa pelbagai manfaat termasuk peningkatan pelaburan dan pengukuhan rantaian bekalan.
Manfaat lain ialah pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada pemain industri tempatan.
“KUSKOP yakin penyertaan francais luar negara dalam pasaran tempatan akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan mengenai penilaian impak ekonomi dan sosial sebelum meluluskan kemasukan francais asing baharu.
Ramanan berkata kerajaan menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi memperkukuh kedudukan francais tempatan.
Skim Pembiayaan Franchisor telah memanfaatkan 122 syarikat dengan pembiayaan hampir RM40 juta.
Manakala 945 syarikat di bawah Skim Pembiayaan Francaisi menerima hampir RM216 juta.
Selain itu, KUSKOP turut menyediakan program bantuan kepada usahawan veteran dan pesara untuk memperoleh perkakasan perniagaan.
Ia juga menyediakan latihan percuma atau bersubsidi serta khidmat rundingan pembangunan perniagaan.
Beliau berkata ekosistem francais tempatan turut diperkukuh melalui latihan dan pembiayaan oleh agensi seperti Pernas.
Ini bagi memastikan daya saing yang lebih seimbang antara jenama tempatan dan antarabangsa.
Menjawab kebimbangan mengenai kesan rangkaian peruncitan besar seperti FamilyMart, beliau menegaskan francais itu turut dimiliki rakyat tempatan.
“Saya ingat tidak menjadi masalah kerana antara franchisor, hanya 47.9% adalah asing, manakala 52.1% adalah tempatan,” katanya.
Beliau berkata beberapa jenama makanan dan minuman tempatan turut dipromosikan ke luar negara.
Jenama seperti Sangkaya, Kenny Rogers, Marrybrown dan PappaRich dipromosikan melalui misi perdagangan di Dubai, Osaka dan Shanghai. – Bernama







