Jalan Gua Musang-Lojing runtuh sepanjang 120m akibat pergerakan air bawah tanah, laluan ke Cameron Highlands terputus sepenuhnya
GUA MUSANG: Runtuhan tanah di Jalan Gua Musang-Lojing FT185 Seksyen 107.6 di Pos Blau dipercayai berpunca daripada pergerakan air di bawah tanah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pergerakan tanah masih berlaku dan berisiko untuk runtuhan susulan.
“Rekahan runtuhan laluan itu berukuran sepanjang kira-kira 120 meter dan berkedalaman kira-kira 30 hingga 35 meter,“ katanya.
Beliau berkata siasatan awal mempercayai pergerakan air bawah tanah menjadi punca kejadian jalan runtuh terbabit.
“Dua hari lepas sudah berlaku rekahan kecil pada laluan terbabit dan pihak bomba serta Jabatan Kerja Raya telah membuat pemantauan,“ jelas Sik.
Semalam pihak bomba menerima aduan berkaitan runtuhan tanah itu daripada orang awam.
Pihak berkuasa mendapati jalan berkenaan tidak selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati laluan dari Gua Musang menghala ke Cameron Highlands runtuh sepenuhnya.
Struktur jalan kelihatan terputus dan menjunam ke bawah, meninggalkan ruang besar berbentuk lekuk sedalam puluhan meter. – Bernama







