RUU untuk menguatkuasakan Konvensyen PBB mengenai perjanjian penyelesaian daripada pengantaraan dibentang bagi bacaan pertama di Parlimen
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 telah dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bacaan kali kedua akan dilakukan pada sesi mesyuarat akan datang.
RUU itu bertujuan menguatkuasakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa yang Terhasil daripada Pengantaraan yang ditandatangani Malaysia pada 7 Ogos 2019.
Ia bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang bagi melaksanakan kewajipan di bawah konvensyen dan memudahkan penguatkuasaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia.
Ini akan menggalakkan penggunaan pengantaraan sebagai cara berkesan untuk menyelesaikan pertikaian komersial antarabangsa.
Bagaimanapun, Fasal 3 RUU itu memperuntukkan undang-undang berkenaan tidak terpakai bagi perjanjian penyelesaian antarabangsa tertentu.
Pengecualian termasuk perjanjian untuk menyelesaikan pertikaian daripada transaksi bagi maksud peribadi, keluarga atau rumah tangga.
Ia juga tidak terpakai bagi perjanjian yang diluluskan oleh mahkamah, atau dipersetujui dan direkodkan sebagai suatu penghakiman mahkamah, atau dikuatkuasakan sebagai award timbang tara.
Fasal 4 memperuntukkan suatu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi oleh pihak kepada perjanjian penyelesaian antarabangsa.
Permohonan itu adalah supaya perjanjian itu direkodkan Mahkamah Tinggi bagi maksud untuk menguatkuasakannya di bawah RUU yang dicadangkan. – Bernama







