Bekas akauntan, 61 tahun, kerugian RM469,875 selepas terpedaya skim pelaburan saham palsu diiklankan di TikTok, polis siasat bawah Seksyen 420
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas lelaki berusia 61 tahun mengalami kerugian RM469,875 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang diiklankan di media sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa, seorang bekas akauntan, mula-mula tertarik dengan iklan pelaburan saham Bursa Malaysia.
Mangsa kemudian dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pelaburan melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan, diarahkan memuat turun aplikasi tertentu dan melakukan 13 transaksi perbankan antara 8 Okt hingga 28 Nov 2025 ke beberapa akaun bank berbeza yang disyaki berkaitan penipuan,” katanya.
Raub berkata suspek menjanjikan pulangan antara 7% hingga 15% daripada jumlah pelaburan.
Mangsa hanya menerima keuntungan kecil sebanyak RM14,763 sebelum diminta membuat bayaran tambahan.
Mangsa baru sedar dirinya ditipu setelah enggan membuat bayaran tambahan yang diminta.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sabitan kesalahan boleh membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap iklan pelaburan di media sosial.
Orang ramai digesa membuat semakan melalui portal Semak Mule serta laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia sebelum membuat sebarang pelaburan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182289. – Bernama







