Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kurnia kebenaran guna dua airboat milik peribadi bagi operasi menyelamat dan bantu mangsa banjir
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua ‘airboat’ berkuasa tinggi milik peribadi Baginda sebagai aset operasi menyelamat mangsa banjir.
Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, menurut satu hantaran di Facebook rasmi Baginda.
Ianya juga sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.
“Kedua-dua airboat berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan,” menurut hantaran tersebut.
Pada Mac 2023, tiga unit airboat milik Seri Paduka Baginda pernah digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa banjir di Johor.
Aset berkenaan turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke penempatan Orang Asli di kawasan Kluang yang terputus hubungan akibat bencana ketika itu.
Setakat pagi ini, empat negeri masih dilanda banjir iaitu Perak melibatkan 2,690 orang, Selangor (699 orang), Perlis (207 orang) dan Pahang (28 orang).
Dalam hantaran berasingan, Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat mengenai perkembangan semasa Gerup Gerak Khas (GGK) oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jen Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab, di Johor Bahru hari ini.
Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan GGK dipersembahkan taklimat mengenai Rancangan Perolehan (RP2) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Turut dibentangkan ialah maklumat mengenai sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas (Fasa Kedua) di Melaka serta perkembangan terkini projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, menurut hantaran berkenaan. – Bernama







