Kerajaan peruntuk RM85.6 juta untuk bina 100 Taman Rekreasi MADANI tahun depan, sasar capai 1,000 taman bagi kesejahteraan rakyat
IPOH: Sebanyak RM85.6 juta diperuntukkan kepada Jabatan Landskap Negara (JLN) bagi pembinaan 100 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara pada tahun 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu bertujuan memenuhi sasaran 1,000 TRM di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat.
“Bagi tahun ini, kita bukan sahaja berjaya mencapai sasaran 100 buah TRM, malah setakat pagi tadi sebanyak 216 telah disiapkan sepenuhnya, melebihi sasaran asal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ruang Komuniti (RUKOM) ke-100 di Pangsapuri Seri Kepayang di sini.
Terdahulu, beliau merasmikan TRM Taman Tanjak di Batu Gajah yang terletak di antara Jalan Gopeng dan Sungai Kinta, dengan peruntukan RM500,000.
Nga berkata untuk negeri Perak sahaja, terdapat 34 TRM, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain.
Beliau berkata pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan TRM termasuk pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau jenayah vandalisme.
“Kita berharap dengan inisiatif murni kerajaan ini, rakyat yang budiman dapat menjaga harta awam dengan baik,” katanya.
Menyentuh mengenai RUKOM, Nga berkata setakat ini sebanyak 100 ruang komuniti telah diwujudkan di kawasan perumahan, terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
RUKOM diwujudkan sebagai ruang sosial inklusif untuk semua lapisan masyarakat, khususnya penduduk PPR.
Ia menyumbang secara langsung kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 bagi memastikan bandar dan komuniti selamat, inklusif dan mampan.
“RUKOM berfungsi sebagai platform aktiviti komuniti, latihan kemahiran, interaksi selamat serta pembinaan identiti kejiranan termasuk ruang membaca untuk anak-anak,” jelasnya.
Setiap RUKOM dibina dengan kos antara RM20,000 hingga RM30,000.
Bagi 100 RUKOM ini, kerajaan membelanjakan kurang daripada RM30 juta dan 12 daripadanya diwujudkan di negeri Perak.
Pelaksanaan RUKOM pertama bermula di PPR Seri Malaysia, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2023. – Bernama







