Seorang pelajar lelaki maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain dengan rakannya di Keningau
KENINGAU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain dengan rakannya.
Ketua Polis Daerah Keningau Superintenden Yampil Anak Garai berkata insiden itu berlaku di Jalan Kem PPH Keningau pada pukul 8 pagi semalam.
Mangsa dikatakan bermain dengan seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.
Siasatan awal mendapati suspek ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan sebuah rumah dan meminta untuk melihat senjata berkenaan.
“Suspek kemudian telah cuba mengacah-acah senjata tersebut sambil bermain sembunyi-sembunyi dengan menghalakan senjata tersebut ke arah mangsa,” menurutnya.
Mangsa pada masa itu telah bersembunyi di bawah kolong rumah.
“Tanpa suspek menyedari terdapat peluru di dalam bakakuk berkenaan dan tertarik picu senjata sehingga menyebabkan senjata tersebut meletup ke arah mangsa,” tambah Yampil.
Mangsa kemudian jatuh terlentang tanpa berkata apa-apa menyebabkan suspek panik.
Suspek meminta bantuan penduduk kampung untuk membawa remaja itu ke hospital.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 8.40 pagi.
Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa mendapati terdapat 14 kesan disyaki kesan tembakan.
Kesan tembakan itu berada di bahagian dada sebelah kanan, lengan kanan serta lutut kanan dan kiri.
Siasatan mendapati terdapat luka atau bekas tembakan daripada peluru penabur yang belum dikenal pasti jenis.
“Tiada saksi mata lain yang berada di lokasi bersama mangsa dan suspek,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama







