Negeri Sembilan bakal terima lima pelaburan asing strategik bernilai lebih RM27 bilion, tertumpu pada sektor AI, semikonduktor dan logistik pintar
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dijangka menerima limpahan pelaburan asing baharu berjumlah lebih RM27 bilion bermula tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia bakal diterima menerusi lima pelaburan asing terbesar yang dikenal pasti untuk kemasukan ke negeri ini.
Beliau berkata ia melibatkan perkhidmatan logistik dan digital serta sektor pembuatan.
“Ia meliputi projek gudang sejuk beku pintar bertingkat dari Jepun yang akan menjalankan operasi di Techpark 2, Enstek dengan nilai pelaburan RM300 juta dan projek peralatan perubatan yang juga dari Jepun di Sendayan Techvalley (RM280 juta),” katanya.
Beliau berkata projek elektrik dan elektronik (E&E) semikonduktor dari Belanda di Senawang bernilai RM2 bilion dengan fasa pertama dianggarkan sekitar RM300 juta.
“Seterusnya, projek kampus data kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat di Bandar Springhill, Lukut (RM5 bilion),” katanya.
Projek terakhir adalah pusat data AI keseluruhan berjumlah RM20 bilion dengan fasa pertama dijangka mencecah RM10 bilion.
Sekiranya berjaya, ia bakal ditempatkan di pembangunan Negeri Sembilan Semiconductor Valley, parcel F, Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).
Aminuddin berkata kelima-lima projek strategik itu bertumpu di Seremban dan Port Dickson yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0.
Beliau berkata ia adalah kawasan pertumbuhan utama yang kini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan.
Menurutnya berdasarkan momentum semasa, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan baharu khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus berkembang dengan lebih pesat.
Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka rancak dalam tempoh lima tahun seterusnya.
Ia didorong oleh pembukaan kawasan industri baharu yang strategik serta dilengkapi jaringan jalan raya yang baik, infrastruktur moden dan ekosistem sokongan komprehensif.
“Dengan hala tuju pembangunan jelas, perancangan yang berpandangan jauh serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak, Negeri Sembilan berada pada kedudukan optimum untuk muncul sebagai hab pelaburan serantau yang dinamik,” katanya. – Bernama







