KKR akan pantau dan ambil tindakan tegas terhadap kontraktor lewat siap projek, walaupun hanya 3% projek dikenal pasti bermasalah
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata punca kelewatan lazimnya berkait dengan isu tapak projek melibatkan pelbagai agensi.
Beliau menyatakan hanya sekitar 3% projek dikenal pasti sebagai lewat, bermasalah atau ‘sakit’.
“Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peraturan,” katanya.
Nanta berkata kontrak mempunyai aspek undang-undang dan pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan projek.
Beliau mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya KKR mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang sambil lewa.
Pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR semalam, Perdana Menteri menegaskan perkara itu penting kerana kementerian tersebut bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat.
Mengenai isu lampu jalan, Nanta berkata KKR bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan pencahayaan tambahan.
Tumpuan diberikan kepada kawasan berisiko kemalangan serta di simpang dan jambatan.
“Kita belum mampu mencahayakan keseluruhan jajaran jalan,” katanya.
Beliau berkata KKR telah memohon bajet tambahan supaya usaha ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh. – Bernama







