Seramai 6,165 prospek penjara telah mendapat pekerjaan pada tahun ini melalui program latihan korporat yang melibatkan 735 majikan.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,425 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh majikan kepada prospek penjara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata seramai 6,165 prospek telah berjaya memperoleh pekerjaan setakat semalam.
Beliau berkata Jabatan Penjara menjalinkan kerjasama strategik dengan majikan melalui program Latihan Pintar Korporat (CSI).
Program itu menawarkan pekerjaan kepada Orang Diparol, Orang Bebas Berlesen, Penghuni Bebas Lesen dan Orang Diselia Industri.
Sebanyak 735 majikan daripada pelbagai sektor telah terlibat dalam inisiatif tersebut.
“Program ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara malah menyediakan prospek dengan berkemahiran dan relevan dengan pasaran kerja semasa,” katanya di Dewan Negara.
Istilah ‘prospek penjara’ merujuk kepada banduan yang mengikuti program pemulihan atau pembangunan sahsiah.
Shamsul Anuar berkata pendekatan itu membuka ruang kepada prospek untuk memperoleh pengalaman kerja sebenar dan meningkatkan kemahiran.
“Inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing malah menyumbang kepada pengukuhan dan pertumbuhan ekonomi domestik,” jelasnya.
Beliau berkata Jabatan Penjara telah melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti sejak 2016 melalui pelbagai inisiatif sokongan termasuk CSI. – Bernama







