Sektor pertanian melibatkan 1.74 juta pekerja dan menjana pendapatan RM186.4 bilion pada 2023, dengan tanaman sebagai penyumbang utama.
PUTRAJAYA: Sektor pertanian Malaysia melibatkan 1.74 juta pekerja pada 2023. Subsektor tanaman menyumbang 76.3% daripada jumlah guna tenaga tersebut.
Sarawak mencatatkan jumlah pekerja tertinggi iaitu 358,803 orang. Ia diikuti oleh Sabah (281,116), Johor (210,575), Perak (194,316) dan Pahang (193,216).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor itu secara keseluruhan menjana pendapatan RM186.43 bilion.
“Subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM132.06 bilion atau 70.8% daripada jumlah pendapatan sektor berkenaan,” katanya.
Subsektor ternakan mencatatkan pendapatan RM33.12 bilion. Perikanan tangkapan pula menjana RM11.08 bilion, diikuti perhutanan dan pembalakan (RM5.42 bilion) serta akuakultur (RM4.74 bilion).
Beliau berkata demikian pada sesi peluncuran Laporan Banci Pertanian 2024 yang disiarkan secara dalam talian hari ini.
Banci itu melibatkan kerjasama strategik 1,390 agensi berkaitan pertanian.
Dapatan banci merekodkan 1.03 juta pegangan pertanian. Sebanyak 97.9% diusahakan oleh individu manakala selebihnya dikendalikan oleh pertubuhan.
“Penggunaan teknologi moden seperti Internet benda (IoT) serta pendekatan pertanian pintar menjadi antara faktor utama yang menarik lebih ramai anak muda menceburi sektor berkenaan,” kata Mohd Uzir.
Keluasan kawasan tanaman yang dilaporkan adalah 7.5 juta hektar.
Kelapa sawit mendominasi seluas 5.8 juta hektar, diikuti getah (0.7 juta hektar) dan padi (0.5 juta hektar).
Dari segi nilai jualan, subsektor tanaman merekodkan RM116.7 bilion.
Subsektor ternakan mencatat RM26.9 bilion manakala perikanan tangkapan RM10.9 bilion.
Pendapatan subsektor tanaman didominasi penanaman kelapa sawit yang menjana RM92.68 bilion.
Ia diikuti buah-buahan (RM14.15 bilion), sayur-sayuran (RM10.9 bilion), getah (RM4.27 bilion), padi (RM3.84 bilion) dan nanas (RM2.33 bilion).
Bagi subsektor ternakan, aktiviti ayam dan itik mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM20.83 bilion.
Pengeluaran telur ayam dan itik pula menjana RM5.54 bilion manakala penternakan khinzir RM2.55 bilion.
Johor mencatatkan jumlah pendapatan sektor pertanian tertinggi sebanyak RM30.15 bilion. Sarawak dan Sabah menyusul dengan masing-masing RM29.18 bilion dan RM28.22 bilion.
Dalam subsektor tanaman, Pahang, Sarawak dan Sabah muncul sebagai tiga penyumbang utama pendapatan.
Nilainya masing-masing ialah RM24.05 bilion, RM23.58 bilion dan RM23.43 bilion.
Jumlah perbelanjaan sektor pertanian pula direkodkan sebanyak RM67.89 bilion.
Subsektor tanaman mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu RM41.53 bilion.
“Nisbah perbelanjaan kepada pendapatan sektor pertanian adalah 0.36.
Ini menunjukkan secara purata kira-kira satu pertiga daripada pendapatan digunakan bagi menampung kos operasi,” jelas Mohd Uzir.








