Kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen terhadap ekonomi dan kebajikan nelayan, menafikan dakwaan tiada penyelesaian untuk isu projek Pulau Silikon.
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang kekal komited untuk memperkasakan ekonomi dan kebajikan golongan nelayan, sekaligus menafikan dakwaan tiada penyelesaian terhadap isu mereka yang terlibat dengan projek Pulau Silikon.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi negeri, Fahmi Zainol berkata, pelbagai usaha ganti rugi berterusan telah dilaksanakan di bawah Pelan Impak Sosial projek itu untuk manfaat nelayan yang terkesan.
Beliau menegaskan isu yang dibangkitkan pembangkang baru-baru ini berpunca daripada salah faham nelayan yang dipergunakan untuk tujuan politik.
“Pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah diminta untuk memberi penjelasan secara bersemuka kepada nelayan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang pemimpin pembangkang sebelum ini mendakwa ratusan nelayan masih berdepan tekanan termasuk kejatuhan hasil tangkapan dan kelewatan pampasan.
Fahmi memaklumkan pelaksanaan bantuan bot dan enjin di bawah pelan sosial itu dilaksanakan secara berfasa.
Bantuan itu telah dimulakan lebih awal kepada nelayan dengan bot yang daif, iaitu sebelum projek itu menerima kelulusan muktamad.
“Semua tekong berlesen dan aktif dari unit yang berhadapan secara langsung dengan kawasan projek telah menerima sepenuhnya bantuan bot dan enjin,” jelasnya.
Bagi baki tiga unit nelayan lain, penghantaran diteruskan dengan sasaran tujuh bot sebulan bagi setiap unit.
Beliau menambah kerajaan negeri tetap meneruskan pemberian bantuan kepada unit di luar zon hadapan projek selaras dengan komitmen asal.
Pendaftaran untuk pelan sosial tersebut telah ditutup pada 31 Mac 2024.
Daripada 905 nelayan yang layak, seramai 877 orang atau 97% telah mendaftar.
Sehingga kini, bayaran ex-gratia berjumlah RM11.8 juta telah disalurkan kepada 795 nelayan.
Beberapa bantuan lain turut disalurkan termasuk bantuan pendidikan dan penubuhan koperasi komuniti.
Jabatan Perikanan juga telah berjaya memperbaharui 90% lesen nelayan, manakala baki berpunca daripada permohonan yang tidak mematuhi syarat.








