Ahmed Al Ahmed, wira serangan Bondi Beach, dedah beliau hanya mahu halang penyerang bunuh orang tidak bersalah selepas melucutkan senjata
ISTANBUL: Wira global Ahmed Al Ahmed yang melucutkan senjata seorang daripada dua lelaki bersenjata dalam insiden tembakan di Bondi Beach, Australia berkata beliau hanya mahu menghalang penyerang daripada membunuh orang tidak bersalah, lapor Anadolu Ajansi.
“Matlamat saya hanyalah untuk merampas senjata daripadanya dan menghalangnya daripada membunuh orang yang tidak bersalah,” kata Ahmed, yang dilahirkan di Syria, dalam temu bual bersama CBS News.
Pada petang 14 Dis, seorang lelaki dan anak lelakinya melepaskan tembakan di sebuah pantai di Sydney, mengorbankan 15 orang dan mencederakan 42 yang lain. Polis menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganas”.
Ahmed menjadi tajuk utama berita dan memenangi hati masyarakat di seluruh dunia atas keberaniannya apabila bertindak menerkam seorang daripada dua penyerang di Bondi Beach, Sydney, bandar terbesar di Australia dan ibu negeri New South Wales.
Ahmed berkata beliau “tidak memikirkan apa-apa” kecuali nyawa yang mungkin boleh diselamatkannya.
“Saya tahu saya menyelamatkan ramai orang, tetapi saya turut berasa sedih atas kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa untuk melucutkan senjata penyerang itu, beliau “melompat” ke belakang lelaki berkenaan dan memukulnya, sambil bergelut untuk merampas senjata tersebut.
“Saya memegangnya dengan tangan kanan dan mula memberi amaran supaya lelaki itu menjatuhkan senjata dan berhenti daripada melakukan perbuatannya. Semuanya berlaku begitu pantas.
“Segala yang ada dalam hati dan fikiran saya hanya tertumpu kepada usaha menyelamatkan nyawa orang lain,” kata Ahmed.
Seorang daripada dua penyerang maut manakala seorang lagi cedera parah.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan Ahmed sebagai “contoh terbaik rakyat negara ini”.
Ahmed, yang berpindah ke Australia pada 2006 dan merupakan bapa kepada dua anak perempuan, ditembak empat hingga lima kali di bahu kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital St George, Sydney. – Bernama-Anadolu








